Soong Joo Ven enggan mempersiakan peluang menggantikan Iskandar Zulkarnain Zainuddin sebagai tonggak skuad negara bagi menghadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Joo Ven menjadi pilihan kejurulatihan negara menggantikan Iskandar yang dibelenggu kecederaan belakang untuk beraksi di samping juara kebangsaan 2016, Lim Chi Wing.

Dia menganggap ini adalah peluang keemasan untuknya menyinar, apatah lagi bakal mendapat tunjuk ajar jurulatih, Tey Seu Bock, yang turut bersama pasukan ke Bandaraya Ho Chi Minh.

"Saya yakin saya dan Chi Wing akan memberikan yang terbaik.

"Saya rasa kami mampu melakar sesuatu kerana kami memiliki pasukan yang kuat. Diharapkan kami mampu mara sehingga ke separuh akhir," kata Joo Ven.

Pemain berusia 21 tahun itu turut berasakan skuad perseorangan lelaki memerlukan ruang untuk bernafas di sebalik situasi tekanan tinggi yang terus menjadi beban untuk mereka.

Setiap perseorangan lelaki negara tahu mereka kini kesuntukan masa mengejar pencapaian skuad beregu lelaki dan campuran.

"Semua orang sering kali bertanya, 'Siapakah pengganti Lee Chong Wei?' tetapi pada saya, dia adalah legenda dan saya hanya akan cuba bermain dengan cara saya di samping cuba menjuarai beberapa kejohanan," tambah Joo Ven.