Anjakan paradigma dibawa pemain badminton wanita negara, Tee Jing Yi, pada tahun ini apabila mengambil keputusan beralih ke acara beregu wanita selepas hampir 10 tahun beraksi dalam acara perseorangan.

Hari pertama sesi latihan skuad badminton negara, Jing Yi kelihatan berlatih di bawah kendalian jurulatih beregu wanita, Wong Pei Tty.

Jing Yi berasakan tindakannnya beralih ke acara itu adalah tepat demi menyelamatkan kariernya sebagai pemain profesional.

Pertukaran itu turut mendapat persetujuan hasil perbincangan dengan barisan jurulatih dan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

"Mungkin dalam acara perseorangan beberapa tahun lalu, tiada keputusan bagus. Jadi, saya harap pertukaran ini membuatkan saya lebih maju," kata Jing Yi.

Jing Yi, bagaimanapun, masih lagi menanti calon yang sesuai untuk digandingkan bersamanya.

Disebabkan kesuntukan masa untuk mencari rakan beregu, dia mengesahkan untuk tidak menyertai Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Sibu, Sarawak, 17 Januari ini.

"Jurulatih belum putuskan lagi. Diharapkan pada bulan ini saya dapat mencuba pasangan baru. Saya tidak tahu lagi. Buat masa ini, saya hanya fokus kepada latihan di dalam gelanggang," tambahnya.

Jing Yi mula membuat penampilan di peringkat antarabangsa pada 2005 ketika berusia 14 tahun.

Walaupun tidak menyinar sebagai pemain perseorangan wanita negara, Jing Yi kali terakhir muncul juara di kejohanan luar, iaitu Cabaran Antarabangsa Iran pada 2014.