Jing Yi diberi tempoh enam bulan sesuaikan diri dalam acara beregu

By Shaiful Shamsudin 3 January 2017
Jing Yi diberi tempoh enam bulan sesuaikan diri dalam acara beregu
Jurulatih perseorangan badminton wanita negara, Sairol Amar Ayob, menganggap Tee Jing Yi mengambil keputusan tepat untuk beralih ke acara beregu wanita demi menyelamatkan kariernya. 

Kemerosotan prestasi yang diharungi Jing Yi sepanjang 2016 menyaksikan gelaran selaku pemain perseorangan wanita nombor satu negara kini dirampas pemain remaja, Goh Jin Wei. 

Sedar sesuatu harus dilakukan jika ingin menyelamatkan kariernya daripada terus menjunam, keputusan Jing Yi untuk beralih ke acara beregu dianggap tepat pada masanya.

Bagi Sairol, Jing Yi perlu serius dalam memantapkan teknik permainannya bersama pasangan yang masih belum diputuskan. 

"Kemahirannya dalam acara perseorangan boleh membantunya dalam acara beregu dan kami akan pantau kemajuannya dalam tempoh enam bulan ini. 

"Kalau berpeluang, saya rasa dia mampu bermain dengan baik dalam acara beregu. 

"Saya harap gandingannya nanti sesuai bersamanya," kata Sairol. 

Sementara itu, Sairol yang sudah dua bulan bertugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), menetapkan misi dalam memastikan anak buahnya, Ho Yen Mei, untuk berada dalam kelompok 50 terbaik dunia tahun ini. 

Yen Mei kini berada di kedudukan ke-58 dunia, diikuti Soniia Cheah di tangga ke-61 manakala Jin Wei berada di kedudukan ke-31. 

"Kejohanan terdekat yang bakal disertai pemain adalah Kejohanan Malaysia Masters di Sibu yang akan berlangsung dua minggu lagi. 

"Dengan undian sudah pun dikeluarkan, apa yang kami nampak persaingannya agak sengit dan harapan saya pemain kita akan dapat melakukan kejutan."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment