Jing Yi bergelut selepas beralih ke beregu wanita

By Staff Writer 30 January 2017
Jing Yi bergelut selepas beralih ke beregu wanita

Pemain beregu wanita negara, Tee Jing Yi, masih tercari-cari rentak permainan konsisten di gelanggang meskipun sudah sebulan dia beralih ke acara beregu wanita.

Selepas hampir 10 tahun beraksi dalam acara perseorangan, Jing Yi mengambil keputusan drastik beralih ke acara beregu dengan harapan dapat menyelamatkan kembali kariernya sebagai pemain profesional.

Dia tidak menafikan acara berkenaan benar-benar menguji aksinya di gelanggang kerana masih lagi belum mendapat rentak dan keserasian yang terbaik dalam masa sebulan ini.

Jing Yi masih bergelut mencapai keserasian ekoran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih belum menetapkan siapakah yang bakal menjadi gandingannya.

"Senarionya cukup berbeza kerana aksi beregu memberi cabaran yang lebih besar terhadap diri saya kerana masih banyak yang perlu dipelajari," ujar pemain berusia 25 tahun itu.

Menyifatkan sambutan Tahun Baru Cina hanya diraikan dengan ala kadar tahun ini, dia memasang harapan besar dalam Kejohanan Sirkit Kebangsaan 2017 yang akan membuka tirai 19 Februari depan.

"Tahun ini, masa untuk bercuti itu tidak banyak, jadi saya akan menggunakan masa yang ada ini untuk menghabiskan masa bersama ahli keluarga," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment

Read Next

Chong Wei, Yi Han harapan utama Petaling BC

By 29 Januari 2017. 11.56 AM