Pemain perseorangan negara, Goh Jin Wei, menyifatkan tekanan menjadi punca utama dirinya kecundang dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia dan bukan disebabkan kecederaan buku lali yang dialami.

Jin Wei mengakui tertekan dengan sasaran tinggi yang diletakkan kepadanya untuk mempertahankan gelaran juara remaja dunia yang diraih dalam edisi lalu, sekali gus gagal menampilkan aksi sebenar ketika berdepan pemain Jepun, Natsuki Oie, di pusingan kelima.

Tidak menyalahkan kecederaan buku lali yang dialami sebagai punca utama, Jin Wei percaya dirinya mampu ke suku akhir jika dia berjaya mengatasi tekanan itu dengan sebaik mungkin.

“Saya tidak berasakan kecederaan merupakan punca kekalahan saya, tahap keyakinan saya menurun dalam set yang kedua dan ia membenarkan lawan saya untuk mengatasi saya,” kata Jin Wei.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah Jin Wei sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Bilbao, Sepanyol sambil menyifatkan sambutan kepulangannya tahun ini cukup berbeza berbanding tahun lalu di mana dia bergelar juara remaja dunia ketika itu.

“Perbezaannya sangat banyak tetapi saya menyedari bahawa bukan setiap masa kita dapat melakarkan kemenangan, jadi saya menerima keputusan ini.”