Goh Jin Wei kecewa gagal mempamerkan prestasi persis juara bertahan Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao, Sepanyol dalam aksi pusingan keempat meskipun meraih kemenangan straight sets 21-11,21-14 ke atas Maria Delcheva dari Bulgaria.

"Saya berasa perlawanan semalam lebih sukar berbanding hari ini. Tapi hari ini fokus saya tidak begitu bagus dan melakukan banyak kesilapan mudah.

"Mungkin saya mahu cepat menamatkan permainan sehingga melakukan banyak kesilapan mudah.

"Oleh itu, saya perlu fokus kepada setiap mata perlawanan dan jangan terburu-buru," kata pemain remaja dari Pulau Pinang itu.

Dalam perkembangan lain, impian skuad perseorangan lelaki mendominasi kempen di Bilbao itu tidak kesampaian apabila dua daripada tiga wakilnya -- Leong Jun Hao dan Fong Sim Hao -- tersingkir dalam pusingan keempat.

"Saya agak terburu-buru untuk mematikan perlawanan. Sebenarnya saya mampu mengalahkannya, tapi di penghujung permainan, saya banyak melakukan kesilapan," ujar Jun Hao susulan kekalahan 21-18, 21-17 kepada Ramadhani M. Zulkifli (Indonesia).

Bagi Sim Hao pula, dia terpaksa akur dengan kehebatan Koki Watanabe dari Jepun yang dianggap mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pertarungan pada hari ini agak sukar kerana saya berdepan lawan bagus yang juga merupakan pemain pilihan. Permainannya di depan jaring juga lebih baik daripada saya."