Juara Olimpik remaja, Goh Jin Wei, menyasarkan kedudukan 10 terbaik dunia menjelang temasya Tokyo 2020, sekali gus melayakkannya beraksi di pentas Olimpik dalam usia yang paling muda dalam sejarah sukan badminton negara.

Kredibiliti yang dipamerkan Jin Wei memberi gambaran jelas mengenai landskap badminton wanita negara yang bakal melalui perubahan selepas ini.

Masih teruja dengan kejayaan di Buenos Aires, Jin Wei tidak mahu terus dibuai mimpi kerana sedar tuntutan seterusnya adalah saingan di peringkat senior yang lebih mencabar.

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, Jin Wei mahu berada dalam kalangan 10 pemain terbaik dunia dengan sasaran utama beraksi di pentas Olimpik.

"Dalam masa dua tahun, saya rasa mampu untuk berada dalam kedudukan 10 terbaik tetapi saya tidak fikir untuk menjadi seperti sesiapa dan hanya memikirkan apa yang saya mahu," katanya.

Jin Wei bersama jurulatih, Loh Wei Sheng, disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

"Ia menjadi motivasi serta pemangkin semangat buat saya. Ia juga membuatkan saya lebih dahagakan kejayaan dan terus bekerja keras," tambah Jin Wei.