Jin Wei puas hati dengan prestasinya bagi tahun 2016

By Staff Writer 11 December 2016
Jin Wei puas hati dengan prestasinya bagi tahun 2016

Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, menepati ramalan muncul juara  GP Final Sirkit Kebangsaan, sekaligus membuktikan statusnya selaku pemain wanita nombor satu negara.

Jin Wei turun beraksi dalam saingan di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini dengan penuh keazaman bagi menebus kehampaan tewas kepada Tee Jing Yi tahun lalu.

Kali ini, dia berdepan seorang lagi pemain kebangsaan, Soniia Cheah dan rentak perlahan dipamerkan pemain berusia 16 tahun ini.

Begitupun, Jin Wei mula menemui rentak dengan beberapa kali memerangkap pergerakan Soniia untuk memenangi set pertama 21-17.

Set kedua memperlihatkan kemampuan sebenar Jin Wei dengan permainan kemas untuk menutup pertemuan menerusi keputusan 21 berbalas 12.

Ia sekaligus menjadikannya juara kedua termuda selepas pencapaian yang dilakukan oleh Ng Mee Fen pada 1998.

Ini juga kemenangan keduanya ke atas Soniia selepas masing-masing bertemu di peringkat kumpulan, Khamis lalu.

"Pertemuan kali ini agak sengit kerana kami sudah berdepan ketika aksi kumpulan. Jadi pertemuan kali kedua ini juga memberikan saya keyakinan untuk menang.

"Tetapi hari ini saya nampak dia (Soniia) agak tegang dalam melakukan kesilapan yang banyak," ujar Jin Wei.

Secara keseluruhan, Jin Wei tetap berpuas hati dengan persembahannya sepanjang tahun 2016 meskipun ada beberapa keputusan yang tidak memihak kepadanya.

"Ada yang bagus dan ada juga yang kurang memuaskan seperti di Kejohanan Remaja Dunia di mana aksi saya agak hambar.

"Bagaimanapun, selepas menyertai GP Indonesia dan Thailand, ranking saya ada perubahan. Jadi, daripada aspek itu, saya agak berpuas hati untuk tahun ini."


About Author

Staff Writer

Comment

Read Next

Liew Daren tewas dalam final Masters Korea

By 11 Disember 2016. 10.01 AM