Jurulatih perseorangan wanita remaja negara, Rony Agustinus, menaruh kepercayaan terhadap anak didiknya, Goh Jin Wei, untuk mempertahankan kejuaraan remaja dunia di Bilbao, Sepanyol, 2–12 November ini.

Selepas hanya mara ke peringkat separuh akhir Terbuka Thailand dan terkandas awal dalam pusingan pertama di Masters Taiwan baru-baru ini, ia sekali gus menimbulkan keraguan terhadap prestasi pemain muda berusia 16 tahun ini.

Ronny, bagaimanapun, tampil menepis perkara tersebut sambil menyifatkan anak buahnya itu masih mampu mencabar kejuaraan di Sepanyol nanti.

Katanya, dia tidak meletakkan sasaran untuk Jin Wei di Thailand dan Taiwan kerana fokus utama lebih terarah kepada persediaan untuk Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2016.

"Tekanan sememangnya dirasai oleh semua pemain, yang penting bagaimana pemain itu mengawal tekanan tersebut.

"Persiapan pemain juga merupakan perkara yang penting kerana jika saya berasakan dia telah bersedia, dia sendiri juga berasakan sudah bersedia. Pastinya tekanan juga tidak akan terlalu tinggi untuknya," jelas Rony.

Ronny tidak bimbang mengenai siapa lawan Jin Wei kerana percaya pemain itu sudah masak dengan corak permainan lawan disebabkan sering bertemu dalam beberapa siri kejohanan.

Kekuatan mental menjadi penentu kerana Jin Wei bakal turun ke gelanggang bulan depan dengan membawa status sebagai juara bertahan, dan semestinya ramai pemain menyimpan azam untuk menewaskannya.

"Dari segi persiapan, saya berasakan semuanya telah sedia. Dia mengikuti pertandingan yang merupakan pertandingan untuk atlet senior.

"Dia pastinya sudah boleh mendapat 'perasaan' mengikuti pertandingan yang besar dan ia tidak akan menjadi masalah buatnya."