Goh Jin Wei menunjukkan perkembangan positif terhadap misinya untuk mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila semakin selesa dengan persekitaran di gelanggang Bilbao Arena, Sepanyol, lewat malam tadi.

Perseorangan wanita negara itu melepasi satu perlawanan yang disifatkan mudah selepas mengetepikan wakil Sweden, Ella Soderstrom.

Dia hanya memerlukan 17 minit untuk mencipta kemenangan 21-8, 21-4 untuk menempah pertembungan pusingan keempat menentang Maria Delcheva dari Bulgaria.

"Perlawanan hari ini lebih baik daripada semalam. Saya berasa yang saya sudah mula untuk menerima keadaan di sini," kata Jin Wei

Untuk melangkah ke final dan berpeluang mempertahankan kejuaraan, Jin Wei perlu memenangi empat perlawanan, sesuatu yang bakal menguji ketahanan mental dan fizikalnya.

Pun begitu, Jin Wei berasakan adalah lebih baik buat dia memikirkan bagaimana untuk melepasi satu perlawanan demi satu perlawanan daripada terburu-buru mengimpikan tiket ke final.

"Saya tidak memikirkan berapa perlawanan lagi akan berlangsung. Saya hanya memberikan tumpuan kepada satu perlawanan demi satu perlawanan.

"Saya berasa tahap kecergasan saya sudah semakin baik. Saya bermain dengan lawan daripada China, Thailand. Untuk berlawan sehingga ke set penentuan, saya masih boleh mengawal keadaan." jelasnya.