Bergelar pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei bertekad untuk menampilkan prestasi yang lebih cemerlang untuk menghadapi musim 2017.

Jin Wei menutup musim 2016 dengan nota kemenangan selepas mengungguli saingan GP Final Kebangsaan, menewaskan seorang lagi pemain negara, Soniia Cheah.

Kejayaan itu menyusul selepas dia kini merampas kedudukan daripada Tee Jing Yi untuk menjadi pemain terbaik negara ketika ini.

Bagi musim 2017, pemain berusia 16 tahun ini mensasarkan kedudukan 25 terbaik dunia di samping memburu beberapa gelaran pertandingan bertaraf GP Emas.

“Saya mahu bermain dalam GP Emas Indonesia dan Thailand. Ini merupakan usaha saya untuk menaikkan ranking saya ke dalam kelompok 25 pemain terbaik pada tahun hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Jin Wei mengakui masih perlu mencari ruang bagi mempertingkatkan tahap kecergasannya andai ingin bersaing dengan pemain luar negara.

Ini kerana dia sendiri belum berasa terlalu selesa di gelanggang andai pertarungan itu berlanjutan hingga satu tempoh yang panjang.

“Ketahanan ketika beraksi, kerana bermain di luar negara, anda memerlukan tahap stamina yang tinggi."