Pemain badminton remaja kebangsaan, Goh Jin Wei, mengharapkan lebih banyak kejohanan
berstatus senior dijadualkan untuknya menjelang pembukaan tahun depan bagi menjamin
persediaan untuk bersaing pada tahap yang lebih baik.


Jin Wei mengharapkan aksinya selepas ini lebih tertumpu kepada saingan peringkat senior bagi
memastikan pengalaman dan mutu persaingan yang lebih baik.

Sudah pasti apa yang berlaku dalam Kejohanan Remaja Dunia di Jogjakarta, Oktober lalu,
merupakan penutup yang kurang sempurna untuknya pada tahun ini.

Dia tewas di peringkat separuh akhir acara individu selain kecundang dalam final dalam acara
berkumpulan kepada lawan yang sama dari China, Han Yue.

“Ramai pemain muda, termasuk dari Korea, juga telah beraksi di peringkat senior. Saya rasa
bermain di peringkat lebih tinggi memberikan pendedahan positif kerana lebih banyak saingan,”
katanya.

Tegas anak jadi Pulau Pinang itu, satu cara untuknya mengatasi lawan yang berada
dalam kelompok remaja dunia adalah dengan memperbanyakkan lagi pengalaman beraksi di
peringkat senior.

Jin Wei kekal menjalani latihan ringan walaupun sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) yang bakal berakhir pada 26 November ini.

“Kini agak sukar kerana saya tidak ke sekolah selama setahun. Saya yakin dapat lulus dan kini
hanya perlu menghadapi subjek biologi, kimia dan fizik, kemudian boleh menyambung sesi
latihan,” katanya.