Lupakan apa yang berlaku di Sepanyol! Itu keazaman yang disemat perseorangan wanita remaja negara, Goh Jin Wei, untuk dia kembali bangkit mempamerkan prestasi sebenar apabila bakal bersaing dalam Terbuka Macau, Selasa depan.

Tewas kepada pemain Jepun, Natsuki Oie, 21-10, 16-21, 16-21 dalam pusingan kelima Kejohanan Badminton Remaja Dunia tempoh hari adalah sesuatu yang memeritkan.

Apatah lagi, ramai pihak meletakkan harapan tinggi kepada Jin Wei memandangkan dia dinobatkan sebagai juara edisi tahun lalu.

Jin Wei sendiri sedar perkara itu harus dilupakan segera kerana cabaran baru bakal menantinya di Macau dan itu mungkin boleh dijadikan sebagai medan penebus kekecewaan.

"Saya sudah lupakan (kekecewaan itu) tapi dalam masa yang sama, saya belajar daripada apa yang telah berlaku.

"Sekarang ini saya sudah pun pulih daripada kecederaan dan menjalani sesi latihan dengan baik," katanya ketika ditemui di Bukit Kiara, pagi tadi.

Jin Wei juga sudah kembali pulih daripada kecederaan buku lali ketika bersaing dalam Kejohanan Remaja Dunia di Bilbao.

Di Macau, dia sudah bersedia dengan cabaran getir apabila dijadualkan bertemu pilihan keempat kejohanan dari Taiwan, Hsu Ya Ching.

"Dalam pusingan pertama Terbuka Macau, saya bakal bertemu dengan pemain pilihan dari Taiwan.

"Apapun yang berlaku, saya akan berjuang sedaya-upaya. Dari situ saya akan lihat bagaimana hasilnya nanti."