Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, enggan lagi terus dibandingkan pencapaiannya dalam Kejohanan Remaja Dunia 2015 sewaktu bergelar juara sambil menganggap saingan edisi kali ini makin sukar untuknya mengulangi kenangan di Lima, Peru.

Kejohanan Remaja Dunia di Markham, Kanada, akan membuka tirai pada 12 November depan.

Gelaran juara remaja dunia tiga tahun lalu itu akan terus diingati Jin Wei sebagai pencapaian terbaiknya.

Namun, dia enggan semua pihak terus membandingkan prestasinya ketika ini dengan pencapaian yang diraih pada 2015 kerana untuk mengekalkan kejuaraan, ia ternyata bukanlah semudah disangka.

Itu tidak bermakna Jin Wei sudah berputus asa untuk merampas kembali kejuaraan dalam penampilan terakhirnya ini dengan melihat persiapan kali ini lebih baik apabila dapat menguji kemampuan terlebih dahulu dalam Sukan Olimpik Remaja di Argentina, bulan depan.

"Saya tidak memikirkan soal kejuaraan lampau.

"Saya hanya memikirkan persiapan sendiri," ujarnya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu, bagaimanapun, tidak menolak kecederaan lama di lutut kiri masih terasa tetapi ia tidak mengganggu sesi latihannya setakat ini.

"Masih terasa sedikit tetapi itu perkara biasa bagi atlet.

"Oleh itu, saya hanya perlu berusaha mengelaknya daripada berlaku," tambahnya.

Secara keseluruhan, 11 wakil akan membawa cabaran negara di Kanada.

Selain Jin Wei, tumpuan juga terarah kepada beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei.