Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dalam gelanggang selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang menghantuinya sejak Januari lalu.

Atlet Pulau Pinang itu ditimpa kecederaan buku lali ketika beraksi dalam Kejohanan Masters Malaysia di Sibu, Januari lalu.

Keadaan fizikal yang tidak mengizinkan menyebabkannya terlepas dua aksi penting, iaitu Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia dan Kejohanan Seluruh England.

Dia juga berjanji akan jujur mengenai keadaan fizikalnya sambil mengikuti saranan untuk berehat dan menjalani pemulihan agar tidak menjejaskan kariernya sebagai pemain profesional.

"Masih banyak yang perlu saya perbaiki.

"Semasa proses pemulihan ini, saya banyak mengadakan latihan koordinasi keseimbangan badan.

"Saya berasa tahap fizikal saya lebih mantap berbanding sebelum ini.

"Saya harap dapat bersedia lebih baik dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.

Jin Wei dijangka akan kembali beraksi dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia bulan depan.

Tiada sasaran tinggi diletakkan Jin Wei, apatah lagi dia menganggap kejohanan itu nanti sebagai medan untuk mencari kembali rentaknya dalam gelanggang.

"Kalau saya melepasi pusingan pertama, saya dijangka akan bertemu pemain India, P.V Sindhu, dan dari situ saya mungkin dapat belajar lebih banyak lagi."