Pemain wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, antara penyuntik semangat buat pendatang baru, Bandar Utama Dragons (BU Dragons), dalam perlawanan pembukaan SS Purple League (SSPL) 2016/17 bagi musim ketiga di antara Kelab Badminton (KB) Puchong United dan BU Dragons yang berakhir dengan kemenangan 3-2 (9-8) Dragons.

Format baru saingan SSPL menyaksikan perlawanan dimulakan dengan kategori perseorangan lelaki, diikuti perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu campuran dan sekali lagi perseorangan lelaki bertarung pada set kelima menggunakan format 11 mata. Pemenang ditentukan dalam tempoh masa 30 minit permainan sahaja dalam setiap kategori.

Aksi perseorangan wanita, penguasaan BU Dragons sememangnya sudah dijangka apabila menurunkan Jin Wei yang sedang dalam motivasi tinggi.

Berdepan pemain China, Pan Lu, Jin Wei tidak menghadapi masalah untuk menang mudah 11-2, 11-4, 4-11, 11-6, sekaligus meletakkan BU Dragons di depan.

Dalam kategori pertama perseorangan lelaki, pemain KB Bandar Utama Dragons, Wei Nan, berjaya menumpaskan Chong Wei Feng 11-10, 10-11, 9-7 dalam masa 30 minit untuk menghadiahkan kemenangan kepada pasukannya.