Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, tidak akan membiarkan kekecewaan menggugat prestasinya selepas digugurkan daripada skuad Sukan Komanwel tatkala dia cuba mengubat kedukaan itu dengan aksi terpuji dalam Kejohanan Seluruh England.

Jin Wei kehilangan tempat dalam skuad Sukan Komanwel kepada Soniia Cheah Su Ya pada saat prestasinya agak menurun.

Bagaimanapun, Jin Wei tidak mahu terus menangisi nasib malangnya kerana ia tidak akan membawa apa-apa keuntungan, sebaliknya fokus kepada saingan di England.

"Masih banyak lagi kejohanan yang akan saya hadapi tahun ini. Terlepas saingan di Gold Coast tidak mengecewakan saya. Saya berharap pemain-pemain yang terpilih akan membuat yang terbaik," katanya.

Jin Wei akan membuka saingan menentang pemain ranking kesembilan dunia, He Bingjiao dari China, yang pernah ditemuinya ketika peringkat remaja.

Bagi Jin Wei, dia teruja untuk beraksi dalam Seluruh England yang menghadirkan cabaran yang mungkin tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

"Saya tidak mahu memikirkan terlalu banyak dan cuba untuk memberikan yang terbaik dalam saingan kali ini."

Sementara itu, Soniia yang akan turun berdepan pemain Indonesia, Fitriani, dengan rekod pertemuan terikat 1-1, mengakui perlu meningkatkan prestasi jika ingin melangkah lebih jauh.

"Saingan perseorangan wanita semakin sukar. Kami semakin giat membuat persiapan bagi menghadapi saingan kali ini," katanya.

Soniia berharap saingan kali ini akan membantunya untuk bangkit selepas mempamerkan aksi hambar dalam Terbuka Jerman, minggu lalu.

"Ketika ini, prestasi saya belum berada di tahap terbaik dan mahu memperbaikinya dalam Seluruh England."