Jalani mahu Wee Kiong dan V Shem teruskan momentum dalam Kejohanan Dunia

By Staff Writer 24 September 2016
Jalani mahu Wee Kiong dan V Shem teruskan momentum dalam Kejohanan Dunia
Di sebalik keterujaan melihat perkembangan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, legenda beregu negara, Jalani Sidek, mahu mereka meneruskan pengembaraan sebagai pasangan beregu terbaik Malaysia dengan memenangi gelaran dunia.

Jalani tidak terkecuali berkongsi kegembiraan melihat Wee Kiong dan V Shem berada dalam kalangan penyumbang pingat Olimpik buat Malaysia, menerusi perak di Rio, Ogos lalu.

Dia yang memenangi gangsa di temasya Barcelona 1992 bersama abangnya, Razif, yang merupakan pingat pertama Malaysia di pentas Olimpik, mahu melihat mereka meneruskan momentum untuk merebut gelaran dunia pada 2017 di Glasgow, Scotland.

Jalani dan Razif, hampir memenangi Kejohanan Dunia pada edisi 1987 di Beijing, China, namun tersungkur dalam final kepada pasangan legenda China, Li Yongbo dan Tian Bingyi.

"Saya berasakan mereka berdua adalah pasangan yang bagus. Di Olimpik, mereka sepatutnya menang jika mereka tidak tergopoh-gopoh untuk membuat servis pada mata terakhir.

"Apa yang ingin saya nyatakan ialah mereka harus belajar daripada kekalahan tersebut dan mereka perlu bekerja lebih keras kerana apabila mereka telah memenangi pingat perak, lawan akan melihat mereka sebagai musuh dan akan cuba untuk mengatasi beregu negara," katanya.

Jalani juga berpandangan Wee Kiong dan V Shem perlu bijak untuk mengambil kesempatan terhadap peralihan kuasa dalam saingan beregu lelaki dunia menerusi persaraan beberapa beregu veteran dunia.

"Bagi saya, itu adalah peluang yang terbaik dalam masa empat tahun jika mahu memenangi pingat emas di Olimpik mahupun Piala Thomas.

"Pasukan negara perlu ada satu pasukan yang stabil serta seimbang. Untuk Olimpik, saya berasakan beregu negara mempunyai harapan tetapi perlu dilihat juga beregu dari Jepun dan juga Indonesia yang mula menunjuukkan peningkatan.

"Jadi, beregu negara perlu lebih berwaspada dengan mereka." 

About Author

Staff Writer

Comment