Beregu No.1 dunia, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, tepaksa pulang awal selepas tumpas di tangan pasangan tuan rumah dalam pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka China di Fuzhou, China, sebentar tadi.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu yang juga pilihan kedua kejohanan terikat 21-19, 16-21 menentang Liu Cheng-Zhang Nan, sebelum perlawanan sengit dalam set penentuan berakhir dengan kekalahan 22-24.

Wee Kiong dan V Shem mengikut jejak pasangan senior negara, Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat, yang turut tumpas dalam pusingan pertama kejohanan itu kepada wakil Denmark.

Ia adalah kekalahan pertama Wee Kiong dan V Shem selepas memegang status beregu no.1 dunia sejak Khamis lalu.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei, apabila mudah melayakkan diri ke pusingan kedua.

Mereka hanya mengambil masa 26 minit untuk menewaskan gandingan Taiwan, Lin Xiao Min dan Fang Chien Wu, 21-8, 21-10.

Iskandar Zulkarnain juga cemerlang apabila menewaskan wakil negara itu, Lin Yu-hsien, walaupun terpaksa mengharungi tiga set, 19-21, 21-15, 21-11, dalam acara perseorangan lelaki.

Keputusan:

Tan Wee Kiong/Goh V Shem kk Liu Cheng/Zhang Nan 21-19, 16-21, 22-24

Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei mn Lin Xiao Min/Fang Chien Wu, 21-8, 21-10.

Iskandar Zulkarnain mn Lin Yu-hsien 19-21, 21-15, 21-11

Tan Boon Heong/Koo Kien Keat kk Mads Conrad Petersen/Mads Pieler Kolding 19-21 21-17 21-13

Yeoh Kay/Chow Pak Chuu kk Ee Lu Kai/Zheng Siwei 8-21, 8-21.

Yeoh Kay Ee kk Andre Marteen 21-17, 9-21, 12-21.