Pemain badminton perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menjadi nama terbaru menarik diri daripada Kejohanan GP Emas Masters Malaysia di Sibu, Sarawak, ekoran masalah kecederaan.

Perkara itu disahkan jurulatih perseorangan, Hendrawan, selepas mengendalikan sesi latihan skuad negara hari ini.

Iskandar mengalami kecederaan belakang dan pinggang ketika sesi latihan Isnin lalu sehingga menimbulkan keraguan terhadap penyertaannya.

Untuk rekod, pemain yang berada di ranking ke-23 dunia ini merupakan naib juara edisi tahun lalu selepas kecundang kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam final.

"Pagi ini, Iskandar menghantar surat daripada doktor yang menjelaskan bahawa dia mengalami kecederaan otot.

"Hari ini juga, dia ada menjalani imbasan MRI, jadi kita akan tunggu dan lihat seberapa teruk kecederaan tersebut. Selepas berbincang dengan Morten Frost (Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia) kami membuat keputusan Iskandar tidak akan ke Sarawak," ujar Hendrawan.

Selain Iskandar, wakil negara yang sah tidak akan beraksi di Sibu ialah pemain beregu campuran, Goh Liu Ying serta Tee Jing Yi yang kini beralih arah ke saingan beregu wanita.

Liu Ying dibelenggu kecederaan lutut manakala Jing Yi masih belum mempunyai pasangan untuk digandingkan.

Mengulas mengenai peluang Iskandar untuk beraksi semula, Hendrawan tidak mahu mengambil pendekatan terburu-buru kerana mahu memastikan dia di tahap terbaik terlebih dahulu sebelum turun ke gelanggang.

"Doktor telah mencadangkan untuk Iskandar berehat selama seminggu. Jadi, fokus utama Iskandar adalah kejohanan di Eropah, Seluruh England dan Terbuka Switzerland dan kemungkinan saya akan senaraikan namanya bagi menghadapi Kejohanan Badminton Campuran (BAC).

"Tetapi kami akan memeriksa semula keadaan Iskandar selepas dua minggu, sama ada kecederaannya sudah pulih," tambahnya.