Di sebalik mengecapi kejayaan di pentas antarabangsa sepanjang 2016, Iskandar Zulkarnain Zainuddin tetap terkilan tidak berupaya mempertahankan gelaran sebagai juara kebangsaan.

Iskandar mula mencuri tumpuan ketika dia muncul juara Grand Prix Final Kebangsaan musim lalu, gelaran yang menawarkan nafas baru sebagai perseorangan nombor dua negara.

Musim 2016, Iskandar lebih banyak memberikan perhatian terhadap misi memperbaiki kedudukan ranking dunia.

Meskipun akur sudah menjadi pemain lebih baik, Iskandar tetap berasakan saingan domestik penting buat dia secara peribadi.

"Sebenarnya, saya tak layak kerana tidak bermain dalam sirkit pertama di Kuala Lumpur, manakala saya tidak dapat mengikuti kejohanan di Kedah disebabkan masalah kesihatan yang menimpa ibu saya.

"Agak sedih jugalah kerana tidak dapat pertahankannya. Cuma Insya-Allah pada Mac tahun depan, BAM (Persatuan Badminton Malaysia) akan menganjurkan satu kejohanan tempatan, saya harap dapat menebus kekecewaan saya," katanya.

Iskandar, bagaimanapun, akan bersandar kepada rakan dalam skuad kebangsaan sebagai pilihan kejuaraan, antaranya finalis tahun lalu, Chong Yee Han dan Soo Teck Zhi.

Turut beraksi dalam sirkit final edisi 2016 adalah pemain kebangsaan, Chong Wei Feng dan Liew Darren.

"Chong Yee Han ataupun Soo Teck Zhi menjadi pilihan saya untuk muncul juara.

"Teck Zhi memiliki corak menyerang yang boleh membuatkan lawannya tidak berasa selesa.

"Chong Yee Han pula memiliki kawalan gelanggang yang mantap. Tahun lepas, saya berentap dengannya dalam perlawanan akhir, jadi saya rasa kali ini dia mampu muncul juara."