Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menyokong sepenuhnya langkah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mahu memilih jurulatih tempatan bagi menggantikan Wong Tat Meng untuk mengendalikan barisan perseorangan lelaki.

BAM mengesahkan bahawa jurulatih tempatan akan mengambil alih posisi yang ditinggalkan Tat Meng selepas beliau dilantik sebagai ketua jurulatih badminton Scotland bermula Januari tahun hadapan.

Iskandar menyifatkan pemilihan jurulatih tempatan berbanding jurulatih luar negara adalah tepat selain percaya mereka lebih memahami barisan pemain negara daripada semua aspek.

Dia berharap jurulatih yang dipilih BAM nanti mampu mengendalikan skuad perseorangan lelaki dengan cemerlang sepertimana yang dilakukan oleh Tey Seu Bock.

"Saya berpendapat pilihan di kalangan jurulatih tempatan adalah lebih baik. Mungkin dia lebih faham pemain di Malaysia. Untuk itu, dia juga boleh memberi motivasi yang lebih keras lagi buat para pemain.

"Ketika ini, untuk perseorangan negara hanya tinggal Seu Bock. Jadi, kalau ditambah seorang lagi adalah langkah yang lebih baik," ujarnya.

Meskipun hanya 14 hari sempat berada di bawah bimbingan Tat Meng, Iskandar tetap berasa kehilangan jurulatih yang pernah mengendalikan perseorangan wanita itu dan berharap beliau dapat memulakan tugas baru dengan baik di Scotland.

"Masa dalam kejohanan di Eropah pun, dia sempat menjaga saya selama seminggu-dua. Dia sememangnya seorang jurulatih yang berkredibiliti, sepertimana ketika dia mengendalikan skuad wanita.

"Tanpa dia, saya berasa ini satu kehilangan besar jugalah untuk BAM."

Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara, Chow Pak Chuu-Yeoh Kay Ee, terkandas dalam pusingan kelayakan Siri Super Premier Terbuka China kepada gandingan tuan rumah, Lu Kai-Zheng Siwei, dalam aksi straigt set 8-21, 8-21 yang memakan masa hanya 17 minit, pagi tadi.