Iskandar Zulkarnain Zainuddin membuktikan status sebagai perseorangan nombor dua negara dalam Siri Super Premier Terbuka China tetapi perlu belajar daripada kekalahan kepada Jan O Jorgensen dalam separuh akhir.

Iskandar, yang merupakan wakil tunggal Malaysia di Terbuka China, menampilkan aksi memberangsangkan di Fuzhou.

Dia mendahului set pertama 20-16 sebelum tewas 20-22, namun bangkit memenangi set kedua 22-20.

Set ketiga menyaksikan Jorgensen memanfaatkan pengalaman sebagai bintang dunia, untuk mematikan langkah Iskandar dengan kemenangan 21-7.

“Set pertama, kami berada di hadapan dengan 20-16 tetapi dia gagal untuk memenangi set tersebut dan ia merupakan satu kerugian buatnya.

"Saya berasa mungkin dia berada di bawah tekanan walaupun cuba untuk mengejar tetapi saya fikirkan dia perlu belajar bagaimana untuk mengatasi masalah itu.

"Jika dia mahu menjadi pemain terbaik, dia perlu belajar untuk menangani tekanan tersebut," jelas jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock.

Aksi separuh akhir itu merupakan pencapaian terbaik Iskandar sepanjang beraksi di pentas Siri Super.

Atas dasar itu, Seu Bock menuntut anak buahnya beraksi lebih konsisten dengan Siri Super Terbuka Hong Kong, ujian seterusnya buat perseorangan negara itu.

”Ia sesuatu yang cukup bagus untuk dia melangkah ke separuh akhir Siri Super Premier dan ranking dia juga pasti akan meningkat.

"Bagaimanapun, dia perlu fokus kepada kejohanan seterusnya di Hong Kong. Beraksi dalam Siri Super, dia tidak akan melalui laluan yang mudah dan tidak akan bertemu dengan lawan yang mudah.

"Semua pemain terbaik dunia akan beraksi dan masing-masing mempunyai kehebatan tersendiri."