Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengharungi pertarungan tiga set sebelum menjamin kemaraannya ke pusingan kedua Terbuka Korea Selatan apabila menundukkan pemain Hong Kong, Angus Ng, hari ini.

Kemenangan 13-21, 21-14 dan 21-17 itu menyaksikan Iskandar muncul wakil tunggal perseorangan lelaki negara untuk berdepan pencabar dari China, Qiao Bin, selepas Goh Soon Huat terlebih dahulu disingkirkan Hans-Kristian Vittinghus.

Turut mara, beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, yang mencatat kemenangan 22-20, 21-14 ketika menentang Chen Hung Ling-Wang Chi-Lin (Taiwan).

Mereka dijangka tidak berdepan masalah esok untuk turun berentap dengan pencabar dari England, Peter Briggs-Tom Wolfenden.

Satu lagi gandingan beregu lelaki negara, Hoon Thien How-Teo Kok Siang, pula dipaksa berhempas-pulas lebih sejam sebelum mengesahkan kemenangan 21-19, 19-21, 22-20 ke atas Lee Sang Won-Park Kyung Hoon.

Selepas ini, mereka berpeluang untuk menguji corak permainan pasangan yang meningkat naik dari China, Huang Kaixiang-Wang Yilyu.

Selepas mendapat 'bye' di pusingan pertama, beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, akan melayani wakil tuan rumah, Kim Duk Young-Kim Hye Rin yang berada di ranking ke-172.

Bagaimanapun, momentum kemenangan negara di Stadium Tertutup Seong-nam tersentak susulan kekalahan mengejut beregu wanita, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei, yang kecundang 21-9, 13-21, 21-18 kepada pasangan kurang berpengalaman Korea, Go Ah Ra-Kim Hyang Im.