Perseorangan lelaki profesional negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menamatkan kemarau kejuaraan selama dua tahun apabila mengungguli Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa White Nights di Russia, semalam.

Iskandar, yang kini berada di ranking ke-100 dunia, turun berentap dengan pemain India, Siddhart Pratap Singh.

Dia tidak menghadapi masalah untuk menang straight set 21-13, 21-16.

Ini juga merupakan kejuaraan kelima dalam kariernya selepas kali terakhir mendakap gelaran juara adalah dalam Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia, dua tahun lalu, dan juga yang pertama sejak bergelar pemain profesional selepas meninggalkan kem kebangsaan, November tahun lalu.

"Kualiti persembahan di sini agak baik dan saya dapat menyesuaikan diri dengan permainan di sini daripada segi kawalan bulu tangkis dan gelanggang.

"Jadi, saya memanfaatkan situasi itu menerusi corak serangan dan bertahan (yang berkesan)," katanya.

Bagaimanapun, Iskandar tidak dapat meneruskan saingan dalam Terbuka Russia yang membuka tirai esok ekoran kekangan, namun dia bertekad untuk meneruskan momentum kemenangan apabila bakal menyertai satu lagi kejohanan, Terbuka Hyderabad, di India yang bermula 6 Ogos ini.

"Saya harap dapat buat yang terbaik dalam Terbuka Hyderabad," tambahnya.