Ketua jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, bertegas mahu memastikan pasukan kendaliannya mempamerkan semangat berpasukan yang jitu bagi mencapai sasaran kembali ke Liga Super pada 2018.

“Saya sudah mengingatkan pemain untuk berlatih serta beraksi sebagai satu pasukan tanpa mengira negeri kelahiran atau kelab lama mereka.

“Adalah cukup penting untuk kami menunjukkan prestasi sebagai satu unit sekiranya mahu mencapai impian dan mengecapi kejayaan lebih besar

“Saya gembira dengan komitmen yang ditunjukkan pemain-pemain tempatan dalam sesi latihan peringkat awal ini walaupun tanpa kelibat pemain import.

“Masih berbaki sebulan sebelum sepak mula, namun saya tidak mahu terlalu memikirkan perlawanan persahabatan, yang penting adalah kecergasan pemain.

“Kami perlu realistik, Terengganu kini dalam Liga Perdana. Perlawanan menentang Kelantan, T-Team atau Pahang sahaja sudah mencukupi.

“Persembahan pasukan ini sepanjang 2016 kurang baik, jadi saya akan cuba perbaiki dan matlamat utama adalah membawa Terengganu ke Liga Super,” ujar Irfan.

Mengulas lebih lanjut kemasukan pemain import, pengendali berusia 65 tahun itu berkata tiga pemain luar kini dalam fasa rundingan terakhir sebelum tiba di Kuala Terengganu.

“Tiga pemain import yang diintai hanya akan tiba dalam tempoh dua minggu lagi kerana masih terikat dengan kontrak di kelab lama mereka dan kini dalam proses perpindahan.

“Proses rundingan sedang berjalan walaupun agak rumit kerana kelab-kelab luar sangat menitikberatkan saluran yang betul.

“Pihak persatuan perlu berurusan dengan kelab itu sendiri, bukan dengan pemain. Sekembalinya saya dari Eropah baru-baru ini, tiga pemain telah dikenal pasti untuk membantu Terengganu kembali ke Liga Super,” katanya lagi.