Inisiatif Purple League demi sukan badminton negara

By Ammar Hakim 2 October 2016
Inisiatif Purple League demi sukan badminton negara

Purple League turut mahu membantu Malaysia memiliki jurulatih berkualiti pada masa akan datang apabila merintis sistem kejurulatihan ditunjangi legenda negara, persis program kuasa besar dunia, China.

China tidak mempersiakan kudrat bekas bintang mereka apabila mengekalkan mereka dalam sistem pembangunan.

Lihat sahaja kepada dua bekas juara dunia mereka, Xia Xuanze dan Chen Jin yang kini merupakan tunjang kepada barisan kejurulatihan perseorangan lelaki dan wanita China.

Itu yang cuba dilakukan penganjur Purple League, Datuk Jack Koh yang memastikan legenda seperti Razif dan Rashid Sidek, Yap Kim Hock dan tidak ketinggalan bekas pemain utama negara, Ong Ewe Hock menjadi sebahagian daripada liga ini.

“Di Malaysia, pemain-pemain yang telah bersara tidak mempunyai peranan di dalam sukan ini, apa yang kami cuba lakukan adalah untuk memberikan peluang untuk kembali ke dalam arena ini sebagai jurulatih,” jelas Jack.

Pendekatan ini diharapkan berupaya menambat hati pemain negara yang terpaksa bersara awal terus kekal dalam sistem domestik.

Misalnya bekas juara remaja dunia beregu lelaki, Ow Yao Han yang memilih berkelana ke Amerika Syarikat susulan tawaran lumayan sebagai jurulatih meskipun usia masih muda.

“Kami berharap kelab-kelab profesional dalam divisyen satu akan mempertingkatkan lagi mutu mereka supaya kami dapat memperkenalkan divisyen dua pada saingan tahun depan bagi memberikan lebih banyak saingan.”

Dalam pada itu, saingan divisyen dua Junior Purple League tidak kurang hebatnya dengan KB Bandar Maharani terus gah dalam misi untuk layak ke divisyen satu.

Perlawanan pusingan kelima menyaksikan KB Bukit Cheras menjadi mangsa susulan kemenangan bersih 15-0.

Import dari Thailand Bandar Maharani mencuri tumpuan bermula dengan  perseorangan wanita, Thanyathorn Thamnopakao menewaskan Ting Ee Chin.

Mendahului dengan kemenangan itu, termasuk daripada perseorangan lelaki, beregu lelaki dan wanita, gandingan Natakhorn Jarareree dan Weerapat Phakjarung kemudiannya mengesahkan kemenangan mutlak KB Bandar Maharani.

About Author

Ammar Hakim

Comment