Hubungan kekeluargaan harus diutamakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, begitulah harapan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, terhadap skuad perseorangan lelaki di bawah pengendalian Datuk Misbun Sidek.

Meskipun sambutan hari raya Norza dalam suasana bersahaja, waktu bersama keluarga diutamakan.

Seperti keluarga besarnya di BAM, Norza bersama isterinya, Datin Seri Zulaiha Zainal Abidin serta dua anak mereka, Juliana Natasha dan Julian Najahan, membuktikan keutuhan adalah segala-galanya.

Begitu juga hasrat Norza apabila Misbun memulakan tugas 3 Julai ini untuk menyatukan semua pemain negara di bawah skuad perseorangan lelaki.

"Kami memerlukan suasana yang harmoni bagi meningkatkan prestasi pasukan dan melupakan isu yang yang lalu," katanya.

Norza juga memberi jaminan demi mengelak sebarang perselisihan faham, Misbun akan diberi kuasa penuh membentuk program tersendiri dan melapor terus kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

"Beliau akan melaporkan secara terus kepada C&T manakala Pengarah Teknikal BAM (Morten Frost) akan memberikan bantuan serta sokongan yang diperlukan."