Presiden Badminton Asia, Anton Aditya Subowo, berpuas hati dengan penganjuran edisi pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, minggu lalu.

Anton turut mengumumkan Hong Kong bakal menjadi tuan rumah untuk edisi kedua kejohanan dwitahunan itu pada 2019.

Sehubungan itu, Badminton Asia bakal mengadakan perbincangan untuk memperbaiki segala kelemahan bagi memastikan pengajuran edisi seterusnya berjalan lebih lancar.

Selain mengharapkan penyertaan lebih banyak negara Asia, pengajuran seterusnya juga mungkin mewujudkan hadiah wang kemenangan buat juara.

"Kami akan memastikan ia akan dipertingkatkan supaya lebih menarik. Mungkin kami menyediakan hadiah wang tunai sebagai penghargaan," katanya.

Edisi pertama kejohanan itu menjadi milik Jepun selepas menumpaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi final, Ahad lalu.

Tambah Anton, penamaan Piala Tong Yung Kai yang menjadi rebutan buat semua negara dalam kejohanan itu adalah sebagai pengiktiran buat Presiden Persatuan Badminton Hong Kong, Tong Yung Kai, yang banyak memberi sumbangan dalam arena badminton di rantau Asia.

"Dia dianggap legenda di pentas badminton Asia. Dia membantu dalam perkembangan badminton, baik di Hong Kong mahupun dunia.

"Jadi kami memberikan penghargaan kepada Yung Kai. Kami sangat bangga kerana dapat memberikan penghormatan kepadanya."

Malaysia yang diwakili pemain muda negara dalam edisi sulung kejohanan itu, mempamerkan aksi memberangsangkan apabila muncul naib juara peringkat kumpulan.

Di peringkat itu, Malaysia menundukkan Sri Lanka sebelum tewas kepada Indonesia.

Bagaimanapun, jurang kemahiran nyata terlalu besar di antara Malaysia dan China apabila tewas 3-0, sekaligus menyaksikan kempen Malaysia terhenti pada suku akhir.