"Perancangan kedua harus dimulakan sekarang," tegas jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan, yang menginginkan barisan pemain sedia ada segera bangkit tatkala kem badminton negara sedang bersedia dengan sebarang kemungkinan berhubung tahap kesihatan Datuk Lee Chong Wei.

Bagi Hendrawan, skuad perseorangan lelaki tidak boleh sekadar menanti kepulangan Chong Wei tatkala mereka harus bersiap sedia untuk berada di tahap terbaik tanpa mengharapkan kudrat pemain nombor satu negara itu sahaja.

Apatah lagi, beliau melihat pemain-pemain sedia ada masih belum cukup matang untuk berada di tahap seperti Chong Wei dan situasi itu akan berterusan sekiranya tiada langkah terbaik dijalankan.

Hendrawan bersama ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, sudah mempersiapkan perancangan kedua dalam memastikan kem perseorangan lelaki mampu mengalami perubahan yang lebih cemerlang meskipun tanpa Chong Wei.

"Pemain-pemain muda perlu bersedia dan mereka sudah dewasa. Skuad negara harus bersedia untuk meneruskan cabaran tanpa Chong Wei," kata Hendrawan.

Lee Zii Jia yang dilihat antara prospek terbaik pula sedang bergelut dengan kecederaan belakang.

Bagaimanapun, Hendrawan memberi gambaran pemain itu mampu pulih untuk beraksi dalam Terbuka Taiwan, bulan depan.

"Kami akan meneliti kecederaan yang dialaminya dan berharap dia dapat pulih sebelum dibawa menghadapi kejohanan."