Barisan kejurulatihan perseorangan negara akan menetapkan tempoh seminggu untuk mengkaji semula tahap kecergasan Datuk Lee Chong Wei sebelum memutuskan penyertaannya ke Seluruh England.

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, berkongsi perkembangan terkini Chong Wei susulan sesi latihan tertutup di Akademi Badminton Malaysia hari ini.

Selepas mengalami kecederaan lutut kiri pada 4 Ffebruari lalu, Chong Wei difahamkan semakin selesa bergerak di atas gelanggang.

“Pergerakan Chong Wei di atas gelanggang semakin baik berbanding sebelum ini,” ujar Hendrawan.

Pemantauan paling penting buat Chong Wei adalah elemen kemahuannya untuk menawan Kejuaraan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini, tidak terjejas.

“Secara fizikal, dia sudah bersedia, cuma permainan di dalam gelanggang yang masih perlu diperbaiki," tambahnya.

Dalam pada itu, kemelut membabitkan Chong Wei dan pengarah teknikal, Morten Frost, memaksa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memperincikan semula program skuad perseorangan lelaki negara menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) esok.

Enggan mengulas lanjut, Hendrawan yang mewakili skuad ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“C&T telah mengadakan mesyuarat dan mereka akan membuat keputusan mengenai program latihan perseorangan negara.”