Juara Kejohanan Seluruh England 2003, Hafiz Hashim, menganggap keputusan beralih ke acara beregu sebagai langkah tepat demi perkembangan kariernya.

Hafiz yang sebelum ini beraksi dalam acara perseorangan, kini lebih memberi tumpuan kepada saingan beregu bersama gandingannya, Razif Abdul Latif.

Ujarnya, keputusan beberapa pemain untuk mengubah haluan dalam karier dapat membuka peluang untuk memburu kejayaan.

Dia mengambil contoh kejayaan yang diraih oleh Tan Kian Meng serta Goh Soon Huat, tatkala mereka sebelum ini bergelut dalam acara perseorangan.

Kian Meng beraksi cemerlang bersama Lai Pei Jing bagi saingan beregu campuran, manakala Soon Huat turut mengecapi kisah serupa bersama gandingan barunya, Shevon Lai Jemie.

Terbaru, perseorangan wanita, Tee Jing Yi, mengambil keputusan untuk menyertai saingan beregu dan Hafiz yakin peralihan ini dapat memberi kebaikan kepada pemain itu sendiri.

"Apabila dia beralih arah dan dapat menjuarai kejohanan, ia bagus untuk pemain berbanding meneruskan aksi dalam acara perseorangan dan tidak mencapai apa-apa kejayaan.

"Ia satu keputusan yang bagus di antara kedua-dua pihak, iaitu di antara atlet dan jurulatih," ujarnya.

Dalam pada itu, Hafiz masih menaruh harapan untuk sekurang-kurangnya mewakili negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur bersama Razif.

Malah, dia juga optimis peluang mewakili Malaysia dalam Kejohanan Dunia Glasgow, Ogos nanti dapat direalisasikan andai beberapa keputusan positif dapat dilakar sepanjang tahun ini.

Apa yang menjadi keutamaannya kini adalah membina momentum yang konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai selain meningkatkan lagi kedudukan mereka dalam ranking dunia.

"Buat masa ini, saya lebih tumpukan kepada persembahan sendiri. Sudah tentu kami mempunyai sasaran kerana saya mahu beraksi dalam tempoh setahun dua lagi.

"Kalau ada peluang terpilih dalam skuad kebangsaan untuk mewakili negara dalam Sukan SEA dan Kejohanan Dunia, saya akan cuba yang terbaik."