Kejayaan dalam GP Emas Masters Malaysia 2017 mengembalikan motivasi buat pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing selepas mengalami krisis keyakinan berikutan masalah kesihatan serta kecederaan sebelum ini.

Pei Jjing tidak menafikan dirinya tidak berada di tahap yang terbaik bagi menghadapi kejohanan sulung buatnya serta Tan Kian Meng tahun ini.

Namun, mereka mendapat undian yang cukup baik di mana tidak berdepan lawan sukar dalam laluan ke final.

Hanya aksi separuh akhir mencetus sedikit kegusaran dengan aksi tiga set diperlukan untuk mengetepikan gandingan dari Hong Kong, Tam Chun Hei-Ng Tsz Yau.

"Saya mengalami kecederaan sebelum mengharungi cabaran GP Emas Masters kali ini, saya berada di tahap yang tidak baik, kecewa dengan prestasi diri sendiri, tetapi kami amat bernasib baik kerana memenangi gelaran ini," kata Pei Jing.

Pertarungan final menyaksikan mereka mengatasi rakan senegara dan juga beregu campuran ketiga negara, Goh Soon Huat serta Shevon Lai Jemie, dengan kemenangan straight sets.

Tumpuan mereka selepas ini sudah pasti terarah kepada Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam, Terbuka Jerman dan juga saingan Seluruh England pada Mac.

Buat Kian Meng, pengalaman untuk beraksi buat kali pertama dalam Seluruh England amat dinanti-nantikan dengan sasaran ke suku akhir kejohanan berkenaan menjadi matlamat awal.

"Kami bermain dengan baik dalam perlawanan hari ini, kami berjaya mempamerkan permainan yang cemerlang. Saya tidak sabar untuk beraksi dalam Seluruh England, saya meletakkan sasaran untuk mara ke suku akhir," jelas Kian Meng.