GP Emas Masters Malaysia: Frost puas hati persembahan skuad negara

By Ammar Hakim 23 January 2017
GP Emas Masters Malaysia: Frost puas hati persembahan skuad negara

Kejohanan GP Emas Masters Malaysia di Sibu yang melabuhkan tirai semalam, menyaksikan beberapa wakil negara masih bergelut untuk menemui rentak permainan mereka, apatah lagi ini merupakan pertandingan pertama bagi musim 2017.

Menurut Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, beliau masih berpuas hati dengan persembahan keseluruhan wakil negara walaupun mengakui ada antara mereka mempamerkan aksi sederhana.

Paling mengecewakan sudah pasti bahagian perseorangan lelaki di mana tiada seorang pun pemain daripada badan induk itu mampu melepasi pusingan kedua.

Ia menyaksikan gelaran yang dimenangi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016 gagal dipertahankan.

Kecederaan pergelangan kaki pula menjejaskan peluang perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei, apabila tewas kepada pemain bukan pilihan dari Taiwan, Lee Chia Hsin.

Hanya bahagian beregu menjadi penyelamat dengan kecemerlangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, untuk muncul juara selepas mengatasi rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan skuad badminton negara walaupun pemain perseorangan lelaki gagal mempamerkan aksi cemerlang.

"Kami dapat melihat dua beregu campuran negara melayakkan diri ke final, ia merupakan satu pencapaian yang memberangsangkan," katanya.

Dalam pada itu, Frost memuji persembahan yang dipamerkan gandingan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Siapa sangka anak didik Cheah Soon Kit ini berjaya meneruskan kemaraan ke final sebelum rentak mereka disekat Berry Angriawan dan Hardianto Hardianto.

Lantas, Frost berpandangan mereka mampu terus menyerlah dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam di samping tidak menolak peluang mereka beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Sze Fei-Izzudin telah mengharungi kejohanan ini dengan baik, mereka membuktikan kualiti yang dimiliki untuk bersaing di pentas lebih tinggi di masa akan datang."

About Author

Ammar Hakim

Comment

Read Next

Race for SSPL 2016/17 Title Heats Up!

By Ammar Hakim 23 Januari 2017. 9.38 AM