Keputusan luar jangkaan dicipta beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, untuk meneruskan kemaraan ke final Kejohanan GP Emas Masters Malaysia.

Soon Huat dan Shevon yang baru digandingkan hujung tahun lalu, menghadapi cabaran sukar berdepan pemenang emas Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad, yang turun beraksi bersama Gloria Emanuelle Widjaja.

Set pertama berlangsung seimbang dengan kepantasan lawan berjaya ditandingi wakil negara.

Kedua-dua gandingan ini saling memperoleh mata tetapi Soon Huat-Shevon memiliki sedikit kelebihan pada kedudukan 11-9.

Momentum itu dikekalkan gandingan ke-92 dunia ini untuk terus mendahului lawan sebelum memenangi set pertama 21-17.

Bersambung dalam set kedua, kedua-dua gandingan ini terus mengutip mata demi mata.

Beberapa kesilapan dilakukan oleh Soon Huat dan Shevon sehingga memberikan wakil dari Indonesia itu memanfaatkan kelebihan berkenaan.

Namun, wakil negara ini kembali menemui rentak untuk memberikan saingan kepada lawan sebelum menutup pertemuan ini menerusi keputusan 21-18.

"Kami sangat teruja menghadapi perlawanan ini, kami tidak menyangka dapat menyingkiran beregu yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik," kata Soon Huat.

"Saya ucapkan tahniah kepada gandingan saya kerana berjaya mempamerkan permainan yang mantap."

Sementara itu, cabaran gandingan beregu wanita, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen berakhir apabila kecundang dalam separuh akhir.

Turun sebagai pilihan keempat, gandingan ini berdepan pasangan dari Hong Kong, Poon Lok Yan-Tse Ying Suet, bagi merebut tempat ke final.

Permulaan baik buat wakil negara dalam set pertama apabila mendahului lawan pada kedudukan 9-7.

Bagaimanapun, mereka gagal mengekalkan rentak permainan apabila beregu Hong Kong itu mula memberikan tekanan sebelum memenangi set pertama 22-20.

Bersambung dalam set kedua, gandingan negara tampil dengan aksi lebih kemas untuk mengelak daripada terus melakukan kesilapan.

Diasak hebat oleh lawan, Yin Loo dan Cheng Wen tidak mengalah apabila memperoleh kemenangan 22-20 untuk membawa permainan ke set penentuan.

Lok Yan-Ying Suet menampilkan aksi yang lebih unggul apabila memperoleh kemenangan 21-15 untuk memastikan laluan mereka ke final.

"Kami gagal mengekalkan rentak permainan apabila pasukan lawan melakukan asakan ke atas kami. Kami amat kecewa kerana gagal mara ke pusingan seterusnya," kata Yin Loo.