Jurulatih perseorangan wanita negara, Sairul Amar Ayob, mahu anak didiknya membuktikan kemampuan dengan memperoleh keputusan positif dalam Kejohanan Grand Prix Emas Masters Malaysia yang bermula esok.

Kejohanan pembuka tirai musim 2017 ini menyaksikan cabaran perseorangan wanita diketuai pemain nombor satu negara, Goh Jin Wei.

Beberapa pemain lain seperti Soniia Cheah Su Ya serta Ho Yan Mei turut menjadi taruhan untuk mencipta kejutan, apatah lagi elemen bermain di hadapan penyokong sendiri menjadi motivasi sampingan.

Hanya dua pemain akan beraksi dalam pusingan kelayakan, iaitu M. Thinaah dan S. Kison, dengan Sairul menetapkan misi buat mereka untuk melepasi lawan masing-masing esok.

"Saya berharap mereka akan melakukan kejutan. Saya menjangkakan Soniia untuk mara jauh dalam saingan kali ini dan berharap pemain-pemain lain untuk melepasi pusingan kelayakan," katanya.

Dalam pada itu, Sairul ingin memastikan tidak wujud jurang terlampau besar dari segi kedudukan ranking dalam kalangan pemain perseorangan wanita negara.

Susulan ketiadaan Tee Jing Yi yang beralih arah ke saingan beregu, masih terdapat perbezaan ketara dengan Sonia serta Yan Mei berada dalam kelompok 60 terbaik jika dibandingkan dengan Jin Wei yang menduduki tangga ke-31 ranking dunia BWF.

Lantas, Sairul mengharapkan kesemua anak didiknya mengelak daripada tersingkir awal dalam saingan di Sibu ini untuk memastikan mereka mampu mengutip mata ranking yang lebih besar.

"Saya telah membuat perancangan pertandingan buat pemain-pemain untuk mengumpul mata. Saya berharap mereka mengambil kesempatan ini dan tidak tewas dalam pusingan awal," tambahnya.