GP Emas Malaysia Masters: Jin Wei tidak pandang jauh

By Staff Writer 17 January 2017
GP Emas Malaysia Masters: Jin Wei tidak pandang jauh
Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, ingin menyerlahkan kemampuan fizikalnya dalam mengharungi musim 2017 yang lebih mencabar, bermula dengan Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters di Sibu, Sarawak, 17-22 Januari.

Jin Wei, yang juga perseorangan wanita nombor satu negara, mengakui kekurangan kecergasan fizikal masih menjadi antara kelemahan utama dalam usahanya menjadi pemain yang lebih baik.

Nyata aspek itu banyak menjadi tumpuan buat bekas juara remaja dunia 2015 itu untuk memastikan dia tampil lebih bertenaga sepanjang 2017 dalam misi memecah kelompok 20 pemain terbaik dunia.

"Saya banyak membuat latihan di gimnasium dan berlari untuk meningkatkan ketahanan fizikal saya. Jadi, saya harap dapat membuat persiapan yang baik," katanya.

GP Emas Malaysia Masters menjadi tugasan sulung buat Jin Wei untuk 2017 dan dia akan membuka aksi pusingan pertama bertemu Sri Krishnya Priya Kudaravalli dari India, esok.

Andai meneruskan kemaraan, pemain pilihan keenam itu dijangka dapat mengekalkan momentum untuk sekurang-kurangnya menjejakkan kaki ke separuh akhir.

Begitupun, Jin Wei lebih selesa mengambil pendekatan fokus terhadap satu demi satu perlawanan, sebelum memikirkan peluangnya untuk melangkah lebih jauh.

"Saya akan fokus satu demi satu perlawanan. Ini adalah kejohanan pertama dalam 2017. Saya hanya berharap boleh mempamerkan prestasi yang terbaik dan saya tidak memandang jauh," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment