GP Emas Malaysia Masters: Chi Wing, Zii Jia pulang awal

By Staff Writer 17 January 2017
GP Emas Malaysia Masters: Chi Wing, Zii Jia pulang awal
Cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Lim Chi Wing dan Lee Zii Jia, dalam Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters berakhir selepas tumpas kepada lawan masing-masing dalam pusingan pertama di Sibu, Sarawak, hari ini.

Chi Wing, yang merupakan juara kebangsaan 2016, mengharapkan permulaan positif untuk kempen tahun ini, bagaimanapun, tumpas 19-21, 13-21 kepada pemain pilihan kelapan dari Indonesia, Jonatan Christie.

Set pertama menyaksikan tentangan hebat diberikan Chi Wing tetapi terpaksa akur dengan kekalahan 19-21.

Kebangkitan yang diperlukan dalam set kedua tidak menjadi kenyataan buat Chi Wing apabila dia membuat beberapa kesilapan untuk memberikan mata kepada Jonatan yang melengkapkan kemenangan 21-13.

"Dalam set kedua, saya masih bermula baik tetapi selepas permainan yang panjang, fokus saya hilang. Ia membuatkan saya kecewa," kata Chi Wing.

Sementara itu, Zii Jia beraksi di pentas GP Emas buat kali pertama dalam kariernya selepas dinaikkan ke kumpulan senior tahun ini.

Menentang pemain India, Harsheel Dani, Zii Jia mempunyai peluang seimbang untuk mencipta kejutan mengatasi lawannya itu.

Bagaimanapun, masih ada beberapa aspek yang perlu ditingkatkan Zii Jia apabila dia terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 21-17 untuk tersingkir awal.

"Mungkin ada ruang yang perlu ditingkatkan lagi. Mungkin pengalaman, kemahiran dan kecergasan masih belum cukup lagi. Balik nanti, mungkin saya akan berbincang dengan jurulatih," kata Zii Jia.

Kekecewaan mereka, bagaimanapun, ditebus R. Sathieshtaran yang meneruskan kemaraan selepas mengatasi juara 2013, Alamsyah Yunus dari Indonesia.

Meskipun beraksi dalam keadaan kurang sihat, penampilan sulung Sathieshtaran dalam saingan bertaraf GP Emas dinoktahkan dengan kemenangan straight set, 21-12, 21-17.

"Saya akan pergi sejauh yang saya boleh dan tidak mahu apa-apa tekanan. Saya hanya mahu bermain permainan saya. Saya tahu ketika berlatih, saya memberikan 100 peratus. 

"Jadi, saya fikir saya tidak mahu tewas dan cuba bermain baik," katanya.

About Author

Staff Writer

Comment