Gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, berada di landasan tepat untuk memburu gelaran sulung tahun ini selepas meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters di Sibu, Sarawak, hari ini.

Turun dengan reputasi selaku beregu campuran kedua negara dan juga naib juara edisi 2016, Kian Meng-Pei Jing, menepati ramalan apabila menewaskan beregu Indonesia, 21-8, 21-7.

Berdepan Ferdinand Sinarta Surbakti dan Cynthia Shara Ayunidha, tidak banyak tentangan yang diterima Kian Meng-Pei Jing dalam set pertama.

Hasilnya, kemenangan mudah 21-8 diperoleh gandingan negara, memberikan lebih keyakinan untuk mengekalkan momentum dalam set berikutnya.

Meskipun sedikit memperlahankan rentak dalam set kedua, itu tidak menjadi penghalang buat Kian Meng-Pei Jing untuk menutup pertemuan menerusi kemenangan 21-7.

"Kami berjaya melepasi pusingan ini dengan baik, lawan tidak memberikan saingan yang sukar kepada kami," kata Kian Meng.

"Kami masih lagi cuba untuk membiasakan diri beraksi di gelanggang serta menguji gaya permainan kami. Saya berharap kami mampu memberikan permainan yang lebih baik dalam pusingan seterusnya," kata Pei Jing.

Terdahulu, satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, turut menepati ramalan untuk mara ke pusingan kedua.

Mereka tidak berdepan kesukaran mengatasi pasangan Indonesia, Tedi Supriadi-Devi Tika Permatasari, dalam pertarungan straight set.

Hanya 29 minit diperlukan gandingan negara itu untuk melakar kemenangan, 21-19, 21-12, bagi meneruskan perjuangan dan akan berdepan Satrya Aditha-Agnisha Fakhtul Laili, juga dari Indonesia, dalam pusingan seterusnya.