Gelaran nombor satu dunia membuat pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, lebih bersemangat untuk terus memburu kejuaraan demi kejuaraan selepas ini agar kekal konsisten di mata dunia.

Pasangan itu berjaya merealisasikan misi untuk bergelar beregu nombor satu dunia sebelum akhir tahun ini berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Meskipun gembira dengan gelaran baru tersebut, namun pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu mengingatkan diri untuk tidak terlalu selesa kerana bukan mudah untuk mengekalkan status yang dimiliki untuk jangka masa yang lama.

Apa yang penting sekarang adalah misi memburu kejuaraan di Terbuka China dan Hong Kong yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Sasaran kami dari segi ranking sudah tercapai tetapi untuk kejohanan, kami masih lagi perlu untuk kekal fokus.

"Jika boleh, kami mahu mengekalkan gelaran nombor satu dunia tetapi untuk melakukannya, kami perlu untuk terus kekal fokus dalam semua perlawanan," ujar Wee Kiong.

Wee Kiong yang mengalami kecederaan ketika Terbuka Denmark, kini sudah pulih dan yakin mampu menghadapi cabaran sengit yang akan ditampilkan pesaingnya nanti.

"Dari segi undian, kami tidak mampu untuk melakukan apa-apa, kami juga dapat saksikan persaingan begitu sengit.

"Kami perlu menerima cabaran tersebut dan kami perlu untuk mencuba sebaik-baiknya, menang atau kalah, itu perkara yang perlu diterima."