Gelaran juara SS Purple League (SSPL) 2016/17 menjadi milik Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya selepas mereka menundukkan KB Puchong United, 13-9, di Arena Of Stars, Resorts World Genting, hari ini.

Kejayaan itu bermakna KB Petaling Jaya yang menduduki tangga kedua Purple League pada musim lalu, muncul juara SSPL buat julung kali selepas KB Muar City menang dua edisi berturut-turut sebelum ini.

Dalam perseorangan lelaki, pemain KB Puchong United, Chou Tien Chen, terlebih dahulu meletakkan pasukannya di depan apabila bangkit menumpaskan wakil KB Petaling Jaya, Dani Harsheel, 6-11, 8-11, 11-3, 11-7, 11-8 (3-2).

KB Puchong United terus memungut mata pendahuluan selepas itu. Kali ini giliran pemain perseorangan wanita mereka, Tai Tzu Ying, pula mengalahkan pemain KB Petaling Jaya, Deng Xuan, 10-11,9-11, 11-9, 11-8, 5-0 (3-2).

Gandingan beregu lelaki KB Petaling Jaya, Kim Sarang-Koo Kien Keat, kembali meletakkan pasukan di hadapan mendahului kutipan mata 7-6. Mereka garang menumpaskan gandingan KB Puchong United, Lim Khim Wah-Tan Chee Tean, 11-5, 11-9, 11-9 (3-0).

Aksi beregu campuran menyaksikan wakil KB Petaling Jaya, Shin Baek Cheol-Woon Khe Wei terus mengukuhkan kedudukan pasukan itu melalui kemenangan 5-11, 11-8, 11-9, 9-8 (3-1) ke atas Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong untuk menjadikan pungutan mata 10-7 memihak mereka.

Goh Giap Chin, yang turun dalam acara perseorangan lelaki selepas itu, hanya perlu mencari satu mata bagi memastikan kemenangan menjadi milik KB Petaling Jaya.

Dia menceriakan kemnya apabila menang mengatasi pemain KB Puchong United, Soo Teck Zhi, 11-4, 11-8, 7-11, 9-11, 11-8 (3-2), bagi mengesahkan kejuaraan SSPL 2016/17 buat pasukan itu musim ini.

Pengurus KB Petaling Jaya, Manoj Kumar, berkata semangat tinggi yang dimiliki KB Petaling Jaya telah membawa pasukan itu sampai ke tahap ini.

"Sudah tentulah semangat berpasukan yang menjadi kunci kejuaraan ini.

"Kami merupakan pasukan underdog berbanding beberapa pasukan lain tetapi komitmen serta semangat berpasukan itulah yang membawa kami muncul juara SS Purple League serta mengalahkan beberapa pasukan besar seperti KB Petaling, KB BU Dragons dan KB Puchong United.

“Mereka mempunyai pemain bintang tetapi kami ada pemain yang sentiasa berusaha dalam setiap perlawanan seperti Goh Giap Chin, Koo Kien Kiet, Deng Xuan dan kesemuanya,” kata Manoj selepas perlawanan.

Sementara itu, penentuan tempat ke-3/4 yang berlangsung pada sebelah tengah hari menjadi milik KB Muar setelah menumpaskan KB Bandar Utama Dragons 11-6.

Kejohanan SSPL 2016/17 menawarkah hadiah keseluruhan bernilai RM1.5 juta dan juara SSPL membawa pulang wang tunai RM500,000, naib juara RM250,000 sementara pemenang tempat ketiga pula meraih RM170,000.

Keputusan Penuh SS Purple League 2016/17:

Final

KB Puchong United kk KB Petaling Jaya 9-13
MS1: Chou Tien Chen mn Dani Harsheel Alpesh 3-2 (6-11, 8-11, 11-3, 11-7, 11-8)
WS: Tai Tzu Ying mn Deng Xuan 3-2 (10-11, 9-11, 11-9, 11-8, 5-0)
MD: Lim Khim Wah-Tan Chee Tean kk Kim Sarang-Koo Kien Keat 0-3 (5-11, 9-11, 9-11)
XD: Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong kk Shin Baek Cheol-Woon Khe Wei 1-3 (11-5, 8-11, 9-11, 8-9)
MS2: Soo Teck Zhi kk Goh Giap Chin 2-3 (4-11, 8-11, 11-7, 11-9, 8-11)

Penentuan tempat ke-3/4

KB Muar mn KB Bandar Utama Dragons 11-6
MS1: Zulfadli Zulkiffli mn Emil Holst 3-2 (9-11, 11-8, 4-11, 11-8, 2-1)
WS: Shen Ya Ying kk Zhang Beiwen 2-3 (8-11, 10-11, 11-10, 11-5, 7-11)
MD: Lee Yong Dae-Tan Wee Gieen mn Mak Hee Chun-Ou Xuanyi 3-0 (11-8, 11-7, 11-9)
XD: Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung mn Chow Pak Chuu-Yap Zhen 3-1 (11-9, 6-11, 11-9, 11-6)

Kedudukan Keseluruhan SSPL 2016/17

Juara: KB Petaling Jaya
Naib Juara: KB Puchong United
Tempat Ketiga: KB Muar
Tempat Keempat: KB BU Dragons
Rempat Kelima: KB Petaling
Tempat Keenam: KB Ampang Jaya
Tempat Ketujuh: KB Kepong
Tempat Kelapan: KB Serdang
Tempat Kesembilan: KB Bangsar Hawks
Tempat Kesepuluh: KB Klang City