Aspirasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2017 adalah untuk memastikan berakhirnya penantian Malaysia bagi memiliki seorang juara dunia dalam mengatasi gemilang Olimpik Rio 2016.

Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, Ogos ini, menyaksikan Datuk Lee Chong Wei meneruskan misi peribadinya untuk menamatkan penantian bergelar juara dunia.

Malaysia juga boleh memandang kepada beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, sebagai taruhan kejuaraan dengan mengambil kira status mereka sebagai gandingan nombor satu dunia.

Jika kena pada waktunya, beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, juga berupaya memainkan peranan sebagai pakej kejutan.

"Kejuaraan dalam Kejohanan Dunia adalah salah satu gelaran utama yang masih belum kita menangi.

"Sudah tentu beregu lelaki kita yang menduduki ranking nombor satu dunia juga mahu menjadi juara," kata Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid.

Selain Kejohanan Dunia, Malaysia juga akan menguji kredibiliti dalam saingan berpasukan campuran Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, Mei ini.

Dalam perkembangan lain, walaupun masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran, BAM pasti merencana sesuatu untuk mencabar tujuh emas yang ditawarkan dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Masih terlalu awal untuk kami meletakkan sasaran emas.

"Namun, jelas sekali ia juga penting untuk kami mengharungi Sukan SEA dengan baik.

"Untuk kempen Piala Sudirman, berdasarkan ranking, kita adalah pasukan ketiga terbaik di dunia selepas China dan Denmark.

"Ini adalah kali pertama kita mempunyai barisan pemain dengan kekuatan yang seimbang."