Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, percaya pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mampu mengekalkan status nombor satu dunia lebih lama walaupun kurang konsisten setakat ini.

Meskipun gagal menyerlah di Terbuka China dan Hong Kong baru-baru ini, Frost bagaimanapun menganggap itu satu cabaran buat pemain beregu yang memegang status nombor satu dunia itu ketika ini.

Ia bukannya satu kegagalan besar dan pasangan tersebut masih berada di landasan tepat dalam memastikan prestasi konsisten.

Bagi Frost, Wee Kiong-V Shem sudah menunjukkan banyak perubahan positif sejurus selepas berakhirnya Sukan Olimpik Rio.

"Ketika ini, saya tidak percaya mereka akan mempamerkan banyak peningkatan. Sebenarnya, saya percaya mereka mampu mengekalkan ranking nombor satu dunia.

"Banyak perubahan yang berlaku terhadap barisan pemain selepas Olimpik, ini termasuklah dalam acara beregu lelaki.

"Pencabar baru akan mula menyerlah," ujar Frost.

Tambahnya lagi, persaingan bagi acara beregu lelaki ketika ini adalah seimbang dan untuk itu, tidak sukar bagi pemain dunia yang lain mengatasi kedudukan ranking pemenang pingat perak Olimpik Rio itu dalam masa terdekat.

"Saingan sangat terbuka ketika ini selepas Sukan Olimpik. Banyak perubahan berlaku di mana ada pemain yang bersara dan gandingan baru dibentuk.

"Sudah tentu ia adalah cabaran baru."