Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, memberi bayangan sudah mempunyai calon yang sesuai untuk menggantikan kekosongan jawatan jurulatih perseorangan wanita negara dan akan mengumumkannya pada 1 November depan.

Jawatan jurulatih perseorangan wanita negara sebelum ini diisi oleh Wong Tat Meng, namun khabar angin mengatakan dia akan diberi tugasan baru oleh BAM untuk melatih pemain perseorangan lelaki.

Frost sudah menemuduga beberapa calon untuk menggantikan posisi Tat Meng dan menyatakan dia sudah mempunyai calon pilihan sendiri.

"Ketika ini, kami sedang menjalankan beberapa sesi temuduga dan saya telah mempunyai beberapa calon untuk mengisi jawatan tersebut.

"Kami bakal lihat nanti macam mana tetapi saya berharap kami akan menyelesaikannya secepat mungkin dan jurulatih tersebut boleh memulakan tugasnya pada 1 November." katanya.

Tanpa mendedahkan identiti, Frost menjelaskan individu tersebut adalah calon tempatan yang mahir dalam senario badminton negara, dan tidak menolak kemungkinan ia akan diisi oleh seorang wanita.

Siapa pun calon pilihan, tugas berat menanti beliau memandangkan skuad negara mempunyai beberapa misi penting tahun hadapan, antaranya Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow pada Ogos.

"Calon itu merupakan calon yang berada di senarai paling atas. Saya akan mencadangkannya kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar untuk dia memulakan tugasnya pada awal November nanti."