Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menjadikan separuh akhir sebagai sasaran awal buat pemain negara, Goh Jin Wei, menjelang Kejohanan Remaja Dunia 2016, di Bilbao, Sepanyol, pertengahan bulan ini.

Jin Wei akan turun dengan reputasi yang cukup gah sebagai juara bertahan susulan kejayaannya di Peru tahun lalu.

Bagaimanapun, Frost melihat saingan kali ini lebih sukar dengan kemunculan kelompok pemain yang lebih kuat untuk memberikan tentangan kepada Jin Wei.

Lantas, sasaran untuk mara ke separuh akhir menjadi penanda aras awal buat pemain itu membuktikan kemampuannya.

"Saya berasa ia sesuatu yang sangat sukar. Secara jujur, saya berasa barisan pemain kali ini lebih kuat berbanding edisi lalu.

"Tahun ini, kami mempunyai lima atau empat pemain yang bagus. Jadi, sasaran saya untuk Jin Wei adalah ke separuh akhir dan seterusnya meraih pingat gangsa. Apapun, kita tunggu dan lihat," ujar Frost.

Dalam pada itu, Frost turut berpuas hati dengan persiapan skuad remaja negara yang baru sahaja selesai menjalani latihan pusat di Bordeaux, Perancis.

Mereka akan menyambung sesi latihan di Bilbao, dengan acara berpasukan terlebih dahulu membuka tirai esok.

"Saya fikirkan kami telah melakukannya dengan baik. Mereka sudah berada di Perancis. Mereka bertolak ke Sepanyol untuk kejohanan tersebut.

"Bagaimanapun, mereka menjalani sesi latihan yang baik di Perancis. Saya boleh katakannya berdasarkan laporan yang saya terima.

"Mereka mempunyai waktu yang baik di sana di samping kerja keras dan fasiliti yang bagus. Ia satu pilihan yang baik."