Frost puas dengan pencapaian badminton negara musim 2016

By Staff Writer 12 December 2016
Frost puas dengan pencapaian badminton negara musim 2016
Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menganggap tahun 2016 menyaksikan keseimbangan secara menyeluruh di dalam skuad negara.

Sebelum ini, tumpuan lebih banyak terarah kepada acara perseorangan lelaki dan juga beregu lelaki, di mana bahagian itu banyak mendatangkan kejayaan dalam temasya utama.

Namun, 2016 menyaksikan kebangkitan ketara yang dipamerkan bahagian lain, khususnya beregu campuran yang turut menyumbang pingat di Sukan Olimpik Rio.

Antara yang mempamerkan peningkatan tahun ini ialah gandingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dalam beregu wanita, serta pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Lantaran itu, Frost mengharapkan rentak serupa dapat diteruskan pada 2017, malah dia menginginkan mereka mencapai lebih banyak kejayaan.

"Beregu campuran negara beraksi dengan cemerlang dan saya berfikir perseorangan wanita juga telah menunjukkan peningkatan.

"Selain itu, saya bangga dengan peningkatan yang cukup cemerlang oleh beregu lelaki negara pada tahun ini.

"Cuma masalah yang kami hadapi adalah kekurangan pelapis beregu lelaki dan saya berasa kami telah mengenal pasti masalah tersebut dan semuanya berjalan dengan baik.

"Kini kami perlu memberikan tumpuan yang lebih kepada barisan beregu lelaki negara," katanya.

Dalam pada itu, Frost menjelaskan satu perancangan khusus diperlukan untuk penyertaan pemain-pemain negara dalam Kejohanan Dunia Glasgow di samping Sukan SEA Kuala Lumpur.

Ini kerana dua saingan itu akan berlangsung serentak dan Frost mahukan pasukan yang kukuh diserlahkan bagi menghadapi kedua-dua pertandingan berkenaan.

"Kami membuat pemilihan kriteria siapa yang akan beraksi dalam Kejohanan Dunia dan Sukan SEA kerana kedua-dua acara tersebut bertindih.

"Atlet yang mendapat pingat di Olimpik Rio akan menyertai Kejohanan Dunia di Scotland, termasuk mereka yang berada di kedudukan lapan terbaik pada ketika itu.

"Melihat kepada barisan pemain, saya fikir kami mempunyai stategi yang cukup mantap dan kami sudah tentunya akan meneruskannya untuk tahun 2017."

About Author

Staff Writer

Comment