Bekas ketua jurulatih badminton negara, Yap Kim Hock, berasakan ketegangan di antara Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, akan bertambah parah sekiranya tidak ditangani segera.

Kim Hock, yang mengetuai program badminton negara selama empat tahun sehingga 2008 bersama BAM, mengakui pernah melalui situasi sama.

Meskipun tidak menyebut nama Chong Wei, Kim Hock mendedahkan ada waktunya dia dan pemain senior itu tidak bersependapat tentang beberapa perkara.

"Situasi itu sentiasa sahaja berlaku kerana ketika dalam proses persiapan, ada sahaja percanggahan idea tetapi apa sahaja yang berlaku itu adalah demi pasukan," jelasnya.

Kim Hock juga senada dengan pelbagai pihak yang menegaskan dua individu itu penting dalam meneruskan kesinambungan kejayaan badminton Malaysia.

Untuk saga ini berakhir, Kim Hock menyarankan agar Frost terlebih dahulu perlu memulakan langkah untuk berdamai dengan Chong Wei.

Kim Hock menambah: "Isu ini agak serius, saya berharap kedua-dua individu ini dapat menyelesaikan masalah ini tetapi Frost selaku pengarah teknikal dan ketua pasukan perlu bertanggungjawab atas perkara ini."