Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menggesa barisan pemain negara memanfaatkan sepenuhnya peluang berlatih selama seminggu di Perancis sebelum ke Sepanyol untuk memulakan kempen Kejohanan Remaja Dunia, 2–12 November depan.

Bagi Frost, latihan seminggu di Perancis adalah peluang terbaik bagi setiap pemain remaja negara untuk menimba pengalaman berlatih bersama pemain lain di sana selain menyesuaikan diri dengan persekitaran di Eropah.

Katanya, kem latihan pusat itu juga bertujuan menyediakan pemain dari segi mental dan fizikal sebelum mereka bertolak ke Sepanyol untuk ujian sebenar.

"Saya rasa ia pengalaman yang baik untuk pemain-pemain muda dan kami berjaya bekerjasama baik dengan Persatuan Badminton Perancis dan mereka menjemput kami untuk kem ini.

Dalam pada itu, Frost enggan memberi tekanan buat perseorangan remaja negara, Goh Jin Wei, dalam misi mempertahankan gelaran dunia yang dimenanginya di Peru sambil menyifatkan pemain dari China adalah pencabar terkuat dalam kejohanan kali ini.

"Ia selalu sukar apabila meramalkan prestasi pemain remaja. Kami tidak mempunyai keputusan-keputusan pemain-pemain dari negara lain. Saya harap Jin Wei akan mara ke separuh akhir dan sekurang-kurangnya mendapat gangsa.

"Saya juga harap pasukan kita akan melakukan dengan baik dan mendapat gangsa juga. Saya fikir kami meraih pencapaian baik dalam kejohanan lalu, iaitu di tempat kelima," katanya.

Berikut pemain remaja negara yang akan beraksi di Bilbao, Sepanyol.

Perseorangan

• Lee Zii Jia
• Leong Jun Hao
• Sim Fong Hau
• Goh Jin Wei
• M. Thinaah

Beregu

• Wooi Yik / Zi Heng
• Pang Ron / Ameer Amri
• Tang Jie / Wei Chong
• Ee Wei / Pearly Tan
• M. Thinaah / Sueh Jeou

Beregu campuran

• Tang Jie / Ee Wei
• Pang Ron / Sueh Jeou