Frost kagum dengan perkembangan Iskandar

By Staff Writer 24 November 2016
Frost kagum dengan perkembangan Iskandar
Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, kagum dengan perkembangan Iskandar Zulkarnain Zainuddin tetapi pada masa sama melahirkan kebimbangan terhadap barisan perseorangan muda negara.

"Saya cuma boleh berharap tetapi saya boleh katakan yang dia telah menampakkan kemajuan dengan cepat. Itu perkembangan yang cukup baik," jelasnya.

Tanpa penyertaan Chong Wei, Iskandar merekodkan pencapaian terbaik skuad perseorangan musim ini dalam Siri Super Premier apabila layak ke separuh akhir Terbuka China.

Ketika Iskandar mengambil kesempatan untuk meningkatkan prestasi, barisan yang dikenal pasti sebagai bakat masa depan masih bergelut, antaranya juara remaja Asia 2013, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven dan Chong Yee Han.

"Bagi saya, perjalanan pelapis seterusnya yang berada dalam lingkungan umur 20 hingga 22 tahun masih jauh.

"Mereka ini masih bergelut. Jadi, kami akan beri fokus untuk membantu kelompok dalam kalangan usia 17 hingga 18 tahun," ujarnya.

Pada masa sama, Frost turut menegaskan keperluan untuk memastikan kecergasan pemain dengan cadangan menggantung penyertaan mereka bermula musim 2017.

Pertemuan separuh akhir Terbuka China di antara Iskandar dan Jan O Jorgensen menjadi rujukan Frost, memandangkan Iskandar tewas mudah dalam set ketiga.

"Kamu perlu berada dalam keadaan yang sangat cergas. Pada saya, Iskandar masih mentah. Dia baru saja meletakkan dirinya dalam kalangan pemain ternama. Jadi, banyak yang masih perlu dilakukan."


Anda juga boleh mendapat berita ini melalui Stadium Astro app. Muat turun sekarang https://www.stadiumastro.com/ms/mobile-app 

About Author

Staff Writer

Comment