Peningkatan ranking dunia pemain utama Malaysia sejak 2016 bakal menyaksikan skuad negara secara keseluruhan kembali dalam kelompok empat terbaik dunia bagi musim 2017.

Malaysia kini memiliki empat wakil yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, dengan dua daripada mereka adalah dalam saingan beregu campuran.

Tidak ketinggalan, Datuk Lee Chong Wei dan beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, masing-masing sebagai pemain dan pasangan nombor satu dunia.

Misi utama badminton negara adalah untuk sentiasa berada dalam kalangan kuasa besar dunia secara merit dan bukan atas dasar sejarah sahaja.

"2016 merupakan tahun yang cemerlang," kata Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

"Saya berpendapat aksi ketika tewas kepada Denmark di peringkat separuh akhir Piala Thomas 2016 adalah aksi menarik dan mendebarkan.

"Begitu juga beberapa pencapaian lain sepanjang 2016, dengan Chong Wei sudah kembali ke kedudukan nombor satu dunia perseorangan lelaki adalah menakjubkan.

"Begitu juga V Shem dan Wee Kiong yang muncul beregu lelaki nombor satu dunia buat kali pertama juga sesuatu yang hebat."

Saingan Piala Sudirman 2015 di Dongguan, China menyaksikan Malaysia beraksi sebagai pilihan ke-10 yang secara tidak langsung mencerminkan krisis skuad negara ketika itu.

Pada Oktober 2016, kedudukan negara meningkat ke tangga keenam dan ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikemaskini Januari ini dijangka menyaksikan Malaysia terus mencabar status China, Korea Selatan dan Denmark.

Tidak hairanlah Frost berasa yakin dengan senario baik ini menjelang kempen Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, hujung Mei nanti.

"Ketika memulakan tugas dua tahun lalu dalam kejohanan Piala Sudirman di China, kita menang ke atas Korea Selatan di peringkat kumpulan sebelum ditewaskan lawan yang sama dalam separuh akhir.

"Ketika itu, kita diletakkan sebagai pilihan ke-10 dan pada hari ini, mungkin skuad negara akan diletakkan sebagai pilihan ketiga berdasarkan ranking dunia."